World News

Thursday, June 06, 2013

TRIBUTE P. RAMLEE


TRIBUTE P. Ramlee bukan sahaja pertama kali dianjurkan berdasarkan penerbitan telemovie hasil idea serta karya lagu-lagu P. Ramlee tetapi anugerah seperti itu juga julung-julung kalinya diadakan pada 7 Jun ini, di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani, sebelum ini Istana Budaya hanya mementaskan pementasan teater, muzikal, bangsawan dan konsert sahaja sejak penubuhannya lebih 10 tahun lalu.

Jelas Juhari Tribute P. Ramlee secara tidak langsung mencetuskan idea buat Istana Budaya bagi mempelbagaikan lagi fungsi tempat itu dalam menganjurkan pelbagai jenis acara dalam cabang bidang seni yang lebih pelbagai.

"Ini kali pertama Istana Budaya menjadi tempat majlis anugerah yang berkaitan dengan bidang lakonan. Malah, ia secara tidak langsung membuka lebih banyak idea untuk Istana Budaya menjadi tempat pelbagai acara selepas ini.

"Selepas ini Istana Budaya juga akan membuka ruang bagi tayangan atau pratonton filem secara eksklusif kepada para penerbit yang berminat untuk menggunakan tempat ini. Tetapi kami akan kawal supaya prestij tempat ini terjaga.

"Tribute P. Ramlee adalah sebagai permulaan dan anugerah ini menjadikan Istana Budaya menjadi lebih versatil sama fungsinya seperti Royal Albert Hall di London," katanya kepada Hits semasa dihubungi baru-baru ini.

Tambahnya penganjuran Tribute P. Ramlee juga bertepatan dengan aktiviti atau jadual tahunan yang mana tarikh penganjuran anugerah itu bertepatan dengan sambutan Hari Seniman Negara dari 29 Mei hingga 30 Jun ini.

Sehubungan itu katanya, Istana Budaya akan menggunakan sepenuhnya kemudahan dan kepakaran yang dimiliki bagi menjayakan anugerah Tribute P. Ramlee yang bertujuan mengenang bakat serta karya-karya seniman tersebut.

"Istana Budaya akan menggunakan segala tenaga kerja yang ada misalnya dalam bidang koreografi dengan menampilkan kira-kira 50 penari kami bagi membantu memeriahkan persembahan pada malam anugerah itu nanti," ujarnya.

Tribute P. Ramlee yang dianjurkan oleh Suhan Movies & Trading, RTM serta kerjasama Utusan Malaysia sebagai akhbar rasmi merupakan antara acara berprestij yang bakal diadakan di Istana Budaya dan mencuri tumpuan ramai.

Pengarah Urusan Suhan Movies & Trading, Rosyam Nor, anugerah itu bukan sahaja menyaksikan kehadiran ramai pelakon baru dan lama tetapi ia juga mampu menarik perhatian para penonton untuk turut hadir menyaksikannya.

"Saya difahamkan ramai VIP seperti Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek antara yang akan hadir menyaksikan anugerah itu. Sebuah bas akan membawa artis-artis veteran dari Singapura.

"Mereka antaranya terdiri daripada pelakon Momok Latif, Zaiton serta artis Malaysia seperti Datuk Aziz Sattar, Mariani dan ramai lagi. Dijangkakan anugerah itu akan berlangsung dengan meriahnya nanti," jelasnya.

Kata Rosyam, bagi menambahkan lagi kemeriahan lebih 300 artis termasuk yang baru dan lama akan hadir termasuklah anak-anak dan cucu-cucu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sebagai suatu penghargaan buat seniman itu.

No comments: