World News

Friday, January 03, 2014

BALASAN ORANG BERSABAR


DAN sesungguhnya Tuhanmu (pelindung) bagi orang-orang yang berhijrah sesudah menderita cubaan, kemudian mereka berjihad dan sabar; sesungguhnya Tuhanmu sesudah itu benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (al-Nahl: 110)

Ibnu Jarir berkata: Sesungguhnya Tuhanmu wahai Muhammad bagi sesiapa yang berhijrah dan berpindah ke negeri Islam selepas berada dalam fitnah golongan musyrikin sudah pasti akan mendapat kebaikan daripada Allah SWT."

Ibnu Kathir berkata: Di sana terdapat golongan mustadafiin tinggal di Mekah dalam keadaan hina dan terdedah daripada fitnah.

BIBLE BAHASA MELAYU DIRAMPAS


Petaling Jaya - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merampas sebanyak 351 naskhah Bible versi bahasa Melayu dan bahasa Iban yang mengandungi kalimah Allah dalam serbuan di premis Persatuan Bible Malaysia di Jalan Gasing di sini kira-kira pukul 2 petang ini.

Dalam serbuan tersebut, pasukan penguat kuasa JAIS yang diiringi anggota polis turut menahan dua individu iaitu Presiden Persatuan Bible Malaysia, Lee Min Choon dan pengurus premis itu, Sinclair Wong.

Menurut sumber, kedua-dua mereka ditahan di bawah Seksyen 9, Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 kerana menerbitkan dengan menulis kalimah Allah untuk kegunaan orang bukan Islam.

LANGKAH PENJIMATAN MENDAPAT SAMBUTAN RAKYAT

KUALA LUMPUR 2 Jan. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata langkah-langkah pengurangan kos perbelanjaan kerajaan yang diumum Isnin lepas mendapat maklum balas baik daripada rakyat.

Najib dalam catatan terbaru beliau di Facebook berkata langkah-langkah yang diumumkan itu adalah permulaan kepada kaedah lain yang bakal dilaksanakan berdasarkan keperluan dan keadaan semasa.

"Kita juga akan turut mengurangkan penggunaan kain pemidang bagi penganjuran majlis-majlis rasmi kerajaan, mengoptimum penggunaan ruang pejabat sedia ada untuk mengurangkan kos sewa premis.

Thursday, June 06, 2013

TRIBUTE P. RAMLEE


TRIBUTE P. Ramlee bukan sahaja pertama kali dianjurkan berdasarkan penerbitan telemovie hasil idea serta karya lagu-lagu P. Ramlee tetapi anugerah seperti itu juga julung-julung kalinya diadakan pada 7 Jun ini, di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani, sebelum ini Istana Budaya hanya mementaskan pementasan teater, muzikal, bangsawan dan konsert sahaja sejak penubuhannya lebih 10 tahun lalu.

Jelas Juhari Tribute P. Ramlee secara tidak langsung mencetuskan idea buat Istana Budaya bagi mempelbagaikan lagi fungsi tempat itu dalam menganjurkan pelbagai jenis acara dalam cabang bidang seni yang lebih pelbagai.

"Ini kali pertama Istana Budaya menjadi tempat majlis anugerah yang berkaitan dengan bidang lakonan. Malah, ia secara tidak langsung membuka lebih banyak idea untuk Istana Budaya menjadi tempat pelbagai acara selepas ini.

"Selepas ini Istana Budaya juga akan membuka ruang bagi tayangan atau pratonton filem secara eksklusif kepada para penerbit yang berminat untuk menggunakan tempat ini. Tetapi kami akan kawal supaya prestij tempat ini terjaga.

"Tribute P. Ramlee adalah sebagai permulaan dan anugerah ini menjadikan Istana Budaya menjadi lebih versatil sama fungsinya seperti Royal Albert Hall di London," katanya kepada Hits semasa dihubungi baru-baru ini.

Tambahnya penganjuran Tribute P. Ramlee juga bertepatan dengan aktiviti atau jadual tahunan yang mana tarikh penganjuran anugerah itu bertepatan dengan sambutan Hari Seniman Negara dari 29 Mei hingga 30 Jun ini.

Sehubungan itu katanya, Istana Budaya akan menggunakan sepenuhnya kemudahan dan kepakaran yang dimiliki bagi menjayakan anugerah Tribute P. Ramlee yang bertujuan mengenang bakat serta karya-karya seniman tersebut.

"Istana Budaya akan menggunakan segala tenaga kerja yang ada misalnya dalam bidang koreografi dengan menampilkan kira-kira 50 penari kami bagi membantu memeriahkan persembahan pada malam anugerah itu nanti," ujarnya.

Tribute P. Ramlee yang dianjurkan oleh Suhan Movies & Trading, RTM serta kerjasama Utusan Malaysia sebagai akhbar rasmi merupakan antara acara berprestij yang bakal diadakan di Istana Budaya dan mencuri tumpuan ramai.

Pengarah Urusan Suhan Movies & Trading, Rosyam Nor, anugerah itu bukan sahaja menyaksikan kehadiran ramai pelakon baru dan lama tetapi ia juga mampu menarik perhatian para penonton untuk turut hadir menyaksikannya.

"Saya difahamkan ramai VIP seperti Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek antara yang akan hadir menyaksikan anugerah itu. Sebuah bas akan membawa artis-artis veteran dari Singapura.

"Mereka antaranya terdiri daripada pelakon Momok Latif, Zaiton serta artis Malaysia seperti Datuk Aziz Sattar, Mariani dan ramai lagi. Dijangkakan anugerah itu akan berlangsung dengan meriahnya nanti," jelasnya.

Kata Rosyam, bagi menambahkan lagi kemeriahan lebih 300 artis termasuk yang baru dan lama akan hadir termasuklah anak-anak dan cucu-cucu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sebagai suatu penghargaan buat seniman itu.

TEKANKAN SOLAT DARI KECIL


ISRAK Mikraj merupakan satu peristiwa yang tercatat dalam lipatan sejarah umat Islam apabila terjadinya pengembaraan Nabi Muhammad SAW ke langit dalam satu malam sahaja untuk bertemu Allah SWT.

Sepanjang pengembaraan Israk Mikraj, baginda diperlihatkan dengan keseluruhan perjalanan kehidupan manusia melalui balasan yang Allah SWT berikan. Termasuk individu yang degil mematuhi syariat agama Islam.

Namun, perkara utama yang berlaku pada malam itu adalah turunnya perintah solat seperti mana yang kita tunaikan pada hari ini.

Walaupun pada mulanya Allah SWT memerintahkan bilangan solat berjumlah 50 waktu, namun Rasulullah SAW memohon agar jumlah itu dikurangkan kepada lima waktu sehari semalam.

Akhirnya permintaan baginda diterima Allah. Lalu dituntut umat Islam menunaikan lima waktu solat iaitu Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak.

Solat fardu yang bermula seawal pagi diikuti waktu petang sehinggalah sebelum pertengahan malam merupakan satu kewajipan harian yang wajib ditunaikan oleh umat Islam sebagai tanda kepatuhan dan perasaan syukur kepada Allah selaku tuhan sekalian alam.

Solat fardu berbeza daripada ibadah lain. Bukan sahaja daripada sudut rukun dan syarat, namun masing-masing mempunyai kaitan iaitu untuk tunduk kepada perintah Allah.

Oleh demikian, bagi mendapat kualiti solat, kita dituntut mendalami konsep ibadat itu.

Maka para ulama mewujudkan pelbagai cabang ilmu berkaitan ibadah contohnya seperti Fikah Solat.

Bahkan kewujudan program perkhemahan solat atau bengkel penghayatan sembahyang penting supaya umat Islam menjiwai ilmu agama selain mendapatkan ibadat solat yang sempurna dan diterima Allah SWT.

Menurut Jurulatih Akademi Daraini Management, Dr. Azhar Yaakub yang telah menjalankan program penghayatan solat sejak lima tahun lalu, hal demikian berlaku kerana masyarakat khususnya dalam kalangan ibu bapa yang kurang arif dalam ilmu fikah mahu ahli keluarga mereka menjiwai ilmu agama.

Jelas Azhar, mereka kemudian menyertai atau menghantar anak-anak ke program solat yang kebiasaannya dianjurkan pada musim cuti sekolah.

Sebaliknya menurut Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu, timbul masalah apabila para ibu bapa menyerahkan bulat-bulat kepada pengajur program solat untuk mendidik anak mendalami solat.

"Sedangkan ketika di rumah mereka tidak pernah mengajak anak-anak menunaikan ibadah itu.

"Pendidikan ini sepatutnya bermula dari rumah. Golongan seperti kami hanya pembimbing dalam waktu singkat. Mungkin tiga hari atau seminggu kami boleh mendidik mereka tetapi pada akhirnya tugas itu terletak di bahu ibu bapa untuk selamanya.

"Maka berlakulah masyarakat malas menunaikan solat apabila anak-anak tidak dilatih dan terdidik oleh ibu bapa sejak dari awal untuk solat," kata beliau.

Menurut Azhar, masyarakat kini menyedari peri pentingnya pendidikan agama khususnya berkaitan solat. Tetapi sebenarnya semua itu perlu bermula dari rumah.

"Jika benih subur maka buahnya akan manis. Begitu juga dengan solat," katanya.

Tunai solat

Nada sama turut dilontar oleh Pembimbing Motivasi Telaga Biru Training dan Consultancy, Yaser Mohd. Akhir yang menegaskan selama ini pelbagai pihak menyalahkan televisyen, alat permainan video, hiburan sebagai punca anak-anak tidak menunaikan solat.

Sebaliknya ujar beliau, hal berkenaan disebabkan oleh kurangnya penerapan dan penekanan oleh ibu bapa terhadap permasalahan itu.

Kata beliau, ibu bapa perlu tanam konsep 'pentingnya' solat dan 'mudahnya solat' dalam sanubari anak sejak daripada buaian lagi. Jika hal itu berterusan maka visi melahirkan masyarakat menunaikan solat bakal tercapai.

"Orang yang menjaga solat, insya-Allah akan terus menerus menjaganya. Manusia tidak akan senang hati jika perbuatan yang biasa dilakukan, tidak ditunaikan.

"Sebagai contoh, sejak dari kecil pada setiap pagi kita diajar menggosok gigi dan mandi. Hal ini sudah menjadi kebiasaan walaupun sejuk, kita tetap akan mandi dan gosok gigi. Kalau tidak mandi, kita rasa sesuatu tidak kena. Hal ini disebabkan mandi sudah sebati dengan darah daging kita. Begitu juga dengan solat," ujar Yaseer.

Mengapa kem solat?

Ketika ditanya kepada kedua-dua individu itu yang merupakan penganjur program solat, mengapa mereka memilih ibadat tersebut berbanding puasa, zakat dan sebagainya sedangkan selainnya merupakan Rukun Islam.

Selain itu turut ditimbulkan juga persoalan penganjuran perkhemahan solat tidak pula kepada program kecemerlangan sahsiah, akademik dan sebagainya.

Ketika menjawab soalan itu, Azhar terlebih dahulu menyatakan bahawa solat merupakan ibadat asas dalam agama Islam.

"Seseorang yang tidak menunaikan solat tidak akan menjadi manusia terbaik. Seseorang yang tidak baik akan menjadi manusia berguna selepas dia melakukan ibadah solat.

"Perkara ini telah dijelaskan oleh Allah menerusi ayat 45 surah al-Ankabut yang bermaksud: Sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar," kata Azhar.

Azhar mengambil pengalaman beliau yang pernah dijemput oleh sebuah syarikat korporat untuk memberi motivasi kepada kakitangan yang mengalami masalah integriti.

Akhirnya, perunding motivasi itu memperkenalkan satu program yang dinamakan terapi diri melalui kaedah asas solat.

"Program itu berjaya. Oleh demikian, saya merumuskan bahawa solat merupakan jalan penyelesaian masalah yang melibatkan penyakit dalaman," kata beliau.

Menurut beliau, solat merupakan ibadah asas yang memberi maksud jika hubungan manusia dengan Allah betul, maka hubungan sesama manusia akan positif.

"Konsep solat adalah menggambarkan Allah melihat hamba-Nya. Lalu ketika solat kita akan tekun dan khusyuk. Hal ini sama dengan manusia. Jika kita berniat untuk malas berkerja hanya disebabkan majikan bercuti atau tiada di pejabat tetapi sekiranya menggunakan konsep solat, nescaya manusia akan amanah dalam pekerjaan.

"Oleh sebab itu saya utamakan solat berbanding elemen-elemen lain. Solat itu ibadah asas. Jika sempurna solat, maka perjalanan hidup manusia itu baik," kata Azhar.

Perkara sama turut dijelaskan oleh Yaseer bahawa umat Islam yang berdisiplin lahir daripada ibadah solat.

Kurangnya akhlak manusia berpunca daripada individu yang tidak menjaga solat.

Tambah beliau, jika melihat kembali konsep solat, tidak satu pun dalam Islam satu ibadah yang memerlukan tumpuan 100 peratus dan tidak boleh bergerak selain gerakan yang ditetapkan sahaja melainkan ibadah itu.

Bahkan jelas beliau, perlu diingat bahawa malaikat Jibrail menjadi perantara di antara Allah dan Rasulullah dalam menyampaikan sebarang ilmu dan ibadah serta hukum-hakam, kecuali solat.

"Solat diwajibkan apabila Rasulullah bertemu dengan Allah dalam peristiwa Israk Mikraj dan bukannya melalui Jibril.

"Maka ditekankan solat perlu diberi perhatian kepada setiap manusia bahawa solat juga merupakan perkara pertama yang akan disoal di mahsyar nanti," tegas beliau.